Fajr Capital Labur Sektor Kewangan di Negara Islam

Wednesday, October 7, 2009

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my

FAJR Capital Ltd, firma pelaburan Islam yang turut dimiliki Khazanah Nasional Bhd dilancarkan semalam dengan tumpuan pelaburannya dalam bidang perkhidmatan kewa-ngan di negara Islam serta bidang pertumbuhan baru yang berkaitan.

Khazanah melabur AS$150 juta (RM525 juta) bagi 25 peratus ekuiti dalam firma pelaburan yang mempunyai modal awal AS$600 juta (RM2.058 bilion) itu.

Pemegang saham lain dalam firma pelaburan berkenaan ialah Agensi Pelaburan Brunei, Majlis Pelaburan Abu Dhabi dan sebuah syarikat persendirian dari Arab Saudi, Masic yang dimiliki Al Subeaei Group.

Fajr Capital dalam kenyataannya berkata, firma pelaburan itu yang beribu pejabat di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai dan mempunyai pejabat di Kuala Lumpur serta London akan bertindak sebagai pelabur yang bertanggungjawab dan komited dalam aspek pembangunan masyarakat tempat di mana ia melabur.

“Bagi tujuan itu, Fajr Capital telah melantik penyelia syariah bebas bagi memastikan ia beroperasi sejajar prinsip undang-undang serta etika Islam,” katanya.

Mengulas pembabitan Khazanah dalam Fajr Capital, Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar dalam kenyataannya berkata, ia bermatlamat menyediakan hubungan lebih erat antara Malaysia dengan negara Islam utama, menyediakan asas bagi kerjasama ekonomi lebih kukuh dan menyokong aspirasi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Katanya, ia juga sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap perkhidmatan kewangan Islam.

“Perkongsian ini melambangkan hubungan semakin erat antara Malaysia dan Asia Barat serta dunia Islam secara keseluruhannya yang menjadi sumber modal penting dan suatu pasaran yang menarik di mana kita mungkin melabur,” katanya yang juga seorang pengarah Fajr Capital.

Fajr dalam kenyataannya berkata, Pengerusi Organisasi Perakaunan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), Sheikh Ebrahim Khalifa Al-Khalifa yang juga berpengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan Islam dilantik sebagai pengerusinya.

Katanya, beliau akan dibantu kumpulan pengurusan yang juga terdiri daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang perkhidmatan kewangan Islam diketuai bekas pengasas dan Ketua Eksekutif HSBC Amanah, Iqbal Khan, sebagai ketua eksekutif.

Eksekutif kanannya yang lain termasuk beberapa pakar bidang perkhidmatan kewangan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu dan pernah bekerja di bank terkemuka dunia seperti di HSBC, Citigroup, Bank Islam Malaysia Bhd dan institusi terkemuka lain.

Firma pelaburan itu turut menegaskan bahawa profil pemegang sahamnya yang terdiri daripada institusi pelaburan terkemuka serantau akan memberikan kelebihan kepadanya untuk bersaing.

0 comments: