Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiamullail:
Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah in
1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.
2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.
4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; “Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.
7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma’thur seperti Ma’thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.
9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.
10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.
11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.
12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.
13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!
[1] Wahai orang yang berselimut!.
[2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
[3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
[4] Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".
[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
[7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
[8] Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
sumber terjemahan (http://quran.al-islam.com)